Wednesday, August 18, 2010

MEROKOK......SERONOK ATAU SENGSARA?

MEROKOK....SERONOK ATAU SENGSARA?

PENGENALAN

     Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

     Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

DEFINISI MEROKOK

     Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan merokok sebagai satu aktiviti ketagihan. Merokok secara tidak langsung boleh menyebabkan seseorang itu terbabit dengan najis dadah kerana rokok adalah bunga kepada dadah.

     MEROKOK adalah satu tabiat yang digemari sebahagian manusia pada zaman serba moden ini, malah ia menjadi keperluan kepada golongan muda yang beranggapan merokok kononnya melambangkan kedewasaan dan kematangan.

KANDUNGAN BERBAHAYA DALAM ROKOK

      Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai(arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut"bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

      Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

       Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

      Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

KESAN ASAP ROKOK

1.Perokok dan Orang Sekeliling
Perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

2.Isteri Perokok
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

3.Anak Perokok
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak

FAEDAH BERHENTI MEROKOK

Keputusan untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan diri sendiri dan kesihatan keluarga anda. Faedah-faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok ialah:
• Panjang umur - Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5 ribu rakyat Malaysia setiap tahun.
• Mengelakkan dari bahan-bahan berbahaya - Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
• Mencegah penyakit - Hampir 40 jenis penyakit yang berkait dengan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik,strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit-penyakit bahaya akibat tabiat merokok.
• Kehidupan yang lebih sihat - Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selsema dan lain-lain penyakit pernafasan berbanding dengan perokok.
• Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain - bila anda merokok, ia memberi kesan kepada orang di sekeliling anda, di mana asap rokok tersebut boleh mendatangkan serangan asma dan lain-lain penyakit berkaitan dengan pernafasan.
• Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak-anak.
• Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat.
• Meningkatkan deria bau dan rasa.
• Memiliki gigi yang putih dan nafas yang segar.
• Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok.
• Menjimatkan wang - Labur wang anda berbanding membeli rokok (RM5.00 sehari, pelaburan =RM 150.00 sebulan = RM 1800.00 setahun. Jika anda melabur untuk 10 tahun, anda sudah mempunyai RM18,000.00 dalam akaun simpanan anda).
• Melindungi alam sekitar - Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran.
• Meningkatkan kesuburan.
• Meningkatkan tahap 'kelakian'.

CARA BERHENTI MEROKOK

Pelajari cara-cara yang betul untuk berhenti merokok. Terdapat banyak cara untuk berhenti merokok.Cara yang paling penting untuk berhenti merokok adalah keinginan diri sendiri untuk berhenti merokok dan menjadikannya satu kenyataan iaitu seperti:
• Tetapkan tarikh untuk berhenti
• Yakin diri
• Buatkan nota peringatan
• Katakan pada diri anda "saya bukan perokok"
• Sentiasa berfikiran positif
• Dapatkan sokongan
• Gunakan terapi penganti nikotin
• Amalkan 12M untuk berhenti merokok

TEKNIK BERHENTI MEROKOK

Tip Berhenti Merokok 12 M :
1. Melengah-lengahkan
o Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar.

2. Menarik nafas panjang
o Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan.

3. Minum air
o Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein.

4. Menyibukkan diri
o Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok.

5. Menjauhkan diri
o Daripada orang yang merokok.

6. Mengelakkan diri
o Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok.

7. Mengunyah sesuatu
o Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis.

8. Membasuh tangan selalu

9. Mandi dengan kerap

10. Meregangkan otot
o Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk.

11. Meditasi

12. Memohon doa
o Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha.

PENUTUP

       Kesimpulanya,dapatlah dirumuskan walaupun amalan merokok dijadikan satu gaya hidup yang menjadi ukuran status kedewasaan,kematangan dan kesediaan memikul tanggungjawab khususnya dikalangan lelaki,namun amalan merokok ini jelas membahayakan kesihatan,memudaratkan kesihatan isteri dan anak-anak,serta membazir duit.Oleh itu,amalan merokok ini harus dihentikan dan tidak diamalkan oleh generasi muda kita pada hari ini.Kita berharap agar genarasi muda dapat menjauhi gaya hidup buruk ini supaya kita dapat membina generasi yang sihat.Dengan ini,anda sendirilah yang menentukan amalan merokok ini adalah gaya hidup yang seronok atau sengsara.Fikir-fikirkanlah.

NUR AZLINA BINTI M RAYMI
206586

No comments:

Post a Comment